Widget Random Post No.

Harus Boleh Jadi Haram

Semalam ( Jumaat 26 Jun 2010 ) mimbar Masjid Jame' Gerik berbicara tentang perkara-perkara harus yang dilakukan oleh manusia dalam kehidupan seharian boleh menjadi haram jika tidak betul pada kaedah dan caranya. 
Saya bukanlah orang yang bijak pandai untuk menghuraikan perkara ini. Sekadar mahu berkongsi dengan kawan-kawan saudara-saudari tentang isi kandungan khutbah yang saya dengar semalam. Mudah-mudahan ada kebaikan buat kita dan menjadi jalan kita untuk memperbaiki diri dan berubah ke arah kebaikan sedikit demi sedikit.

Khatib semasa berkhutbah memberi contoh tentang aktiviti riadah yang disarankan oleh Islam malah dilakukan oleh junjungan besar Rasulullah SAW sendiri. Rasulullah pernah berlumba lari dengan isteri Baginda , Saidatina Aisyah. Malah sukan-sukan seperti memanah, menunggang kuda dan berenang sangat-sangat disyorkan oleh Nabi kita Muhammad SAW.

Rasionalnya khatib memberi contoh riadah atau sukan adalah  bersempena dengan Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang. Khatib menyatakan menonton bola di kaca tv itu dibenarkan tetapi jika salah caranya ia boleh menjadi haram. Misalnya seorang lelaki menonton bola hingga meninggalkan solat berjamaah maka pada waktu itu ia sudah berdosa kerana menonton perlawanan bola sepak.

Maka dalam hal ini banyak lagi perkara harus yang mungkin menjadi haram. Sebagai orang Islam adalah wajib bagi kita menutup aurat maka jika kita sedang beriadah sedang kita memakai seluar pendek, maka sia-sialah riadah kita kerana kita sudah campurkan dengan perkara yang haram. Peringatan ini sudah tentu bukan sahaja untuk kawan-kawan  malah kepada diri saya sendiri.

Sudah tentu banyak lagi perkara lain, maka jika kita berniat menambahkan ilmu-ilmu agama wajarlah kita mencari guru dan menambah ilmu akhirat kerana apalah dunia jika kita rugi di negeri yang satu lagi. Moga-moga sedikit perkongsian ini boleh kita manfaatkan dalam kehidupan kita. Kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik dan bukannya kekal dalam keadaan kita sekarang tanpa usaha untuk menambahkan iman.

Yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk datang daripada kelemahan diri saya jua.
Harus Boleh Jadi Haram Harus Boleh Jadi Haram Reviewed by faizalnizam on June 26, 2010 Rating: 5

2 comments:

appreciating your feedback and response!

Post Counts

Powered by Blogger.