Widget Random Post No.

Hari Ini Dalam Sejarah: 29 Disember 1955

Saya tidak pasti bagaimana mahu memukadimmahkan segmen Hari Ini Dalam Sejarah edisi 29 Disember ini. Rundingan adalah cara terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah tetapi bukan semua rundingan mampu mencapai penyelesaian.

29 Disember 1955
Kegagalan Rundingan Baling

Pada hari ini 29 Disember dalam tahun 1955, Rundingan Baling telah berakhir tanpa mencapai kejayaan. Rundingan yang berlangsung di antara pihak kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) ini bertujuan untuk menamatkan darurat.

Pertemuan bersejarah ini telah berlangsung di dalam empat sesi selama dua hari, bertempat di Sekolah Kerajaan Baling, Kedah.

Pihak kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, Encik David Marshall serta Dato' Sir Tan Cheng Lock. Manakala PKM diwakili oleh Chin Peng selaku Setiausaha Agung PKM, bersama dengan Chen Tian dan Abdul Rashid Maidin.

Dalam rundingan itu Tunku Abdul Rahman telah menerangkan syarat-syarat berkaitan pengampunan beramai-ramai dan pergolakan politik negara. Beliau meyakinkan PKM bahawa Persekutuan Tanah Melayu sedang menuju ke arah mencapai kemerdekaan dan menyeru PKM agar menghentikan keganasan.

Sesungguhnya, Rundingan yang diadakan ini merupakan kemuncak usaha kerajaan dalam mengatasi pemberontakan bersenjata komunis. Kegagalan rundingan ini ialah kerana permohonan PKM agar mereka diberikan pengiktirafan serta dibenarkan mengamalkan ideologi Komunis ditolak dan tidak diterima sama sekali oleh kerajaan.

Sumber: Arkib Negara Malaysia 
Hari Ini Dalam Sejarah: 29 Disember 1955 Hari Ini Dalam Sejarah: 29 Disember 1955 Reviewed by faizalnizam on December 29, 2010 Rating: 5

1 comment:

appreciating your feedback and response!

Post Counts

Powered by Blogger.