Widget Random Post No.

Berpecah Belah Itu Tidak Hebat

Saya tidak mahu mengapa, tetapi sejak akhir-akhir ini jiwa saya seolah-olah diasak untuk kerap menulis hal-hal perpaduan. Perpaduan, secara hakikat, adalah satu perkara yang sukar untuk dicapai. Kerana apa? Kerana kita punya pandangan masing-masing dan kita kerap berpegang padanya dengan emosi bukan dengan kerasionalan.

Perpaduan mesti bermula seawal usia kanak-kanak sebenarnya. Anak-anak kecil mesti diajar makna perpaduan lebih-lebih dalam negara bermasyarakat majmuk seperti kita. Saya sudah penat membaca tulisan-tulisan berunsur kebencian dan perkauman - kerana sifat tulisan seperti itu sekadar memburukkan lagi keadaan.

Golongan belia sebenarnya punya peranan yang lebih dominan dan signifikan dalam usaha mencapai perpaduan. Saya petik satu artikel daripada akhbar tempatan.

Perpaduan kaum perlu digalak dari peringkat belia

KUALA LUMPUR: Usaha dan langkah awal perlu diambil untuk memastikan sistem pendidikan di negara ini terus menjurus ke arah perpaduan dan mengelak polarisasi antara kaum terutamanya di kalangan belia.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata dalam mempromosikan integrasi kaum, sekolah dilihat sebagai tempat paling sesuai bagi golongan itu dan guru serta ibu bapa harus memainkan peranan mereka ke arah itu.

"Pelajar hari ini adalah pemimpin masa depan dan di bahu mereka terletaknya tanggungjawab dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dengan satu matlamat dikongsi bersama," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain guru dan ibu bapa, beliau berkata, sekolah, kolej dan institusi pendidikan swasta juga perlu mengambil usaha untuk mencegah polarisasi kaum di peringkat institusi masing-masing.

Ia juga dapat melalui penerapan nilai-nilai murni dan objektif mulia berkaitan dengan perpaduan sejak peringkat sekolah rendah lagi serta penerapan usaha praktikal yang berkaitan perpaduan dalam setiap aktiviti ko-kurikulum dan sukan mereka.

Selain itu, Lee berkata, pengetahuan mengenai Rukun Negara penting dalam mendorong belia memahami Malaysia yang bersatu padu.

Demi masa depan negara, katanya, perpaduan dan keharmonian harus menjadi sebahagian daripada budaya yang akan mewujudkan banyak peluang kepada pelbagai kaum untuk berjumpa dan menjalin persahabatan lebih akrab. - BERNAMA

Berita Harian Online

Saya juga penat membaca tulisan-tulisan yang mengutuk dan menimbulkan rasa amarah terhadap negara sendiri. Dan kebanyakan tulisan-tulisan itu datangnya daripada anak-anak muda yang kononnya melaungkan "pembaharuan" ke atas Malaysia.

Saya tidak mahu lari daripada tujuan asal entri ini - iaitu tentang perpaduan. Sedarlah kita bahawa perpaduan sahaja yang akan membolehkan kita merubah Malaysia ke arah yang lebih. Perpaduan antara semua bangsa dan perpaduan sesama Muslim.

Mengapa mahu berpecah belah bilamana kita sebenarnya boleh bertoleransi. Ego dan kesombongan cuma akan memusnahkan bangsa Malaysia. Buka mata dan jiwa kita bahawa kita satu bangsa Malaysia boleh yang boleh hidup aman dengan menghormati hak masing-masing yang tertakluk dalam Perlembagaan.
Berpecah Belah Itu Tidak Hebat Berpecah Belah Itu Tidak Hebat Reviewed by faizalnizam on December 27, 2010 Rating: 5

No comments:

appreciating your feedback and response!

Post Counts

Powered by Blogger.