Widget Random Post No.

Edisi Hari Guru 2015: Mengapa Hari Guru Diisytiharkan Pada 16 Mei?

Sepanjang 365 hari setahun, terdapat pelbagai "hari istimewa" disambut atas pelbagai sebab dan/atau acara. Salah satu tarikh penting di Malaysia ialah 16 Mei; satu tarikh keramat sebagai simbolik penghargaan kepada golongan yang bernama "GURU".

Saya secara peribadi percaya, kalau tidak semua, kebanyakan orang layak dipanggil "GURU" kerana setiap orang ada sesuatu untuk diajar kepada orang lain. Jika saya hendak senaraikan "GURU-GURU" yang telah menunjuk ajar saya pelbagai hal dalam kehidupan, nescaya tidak dapat saya senaraikan kesemuanya kerana terlalu ramai orang yang telah mengajar saya pelbagai perkara.


Mengapa Hari Guru Disambut Pada 16 Mei?


Pada tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita.

Perkara bersejarah ini telah berlaku pada tarikh 16 Mei dalam tahun berkenaan. Dokumen itulah yang dikenali sebagai Laporan Razak yang telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak dari tarikh tersebut.

Ekoran daripada peristiwan ini maka 16 Mei telah dipilih sebagai tarikh sambutan Hari Guru. Sekaligus sebagai ulangtahun peringatan kepada peristiwa yang menjadi titik tolak kepada pembangunan pendidikan Malaysia sehingga ke hari ini.

sumber: pmr.penerangan.gov.my

Tema Hari Guru 2015


Tema Hari Guru bagi tahun 2015 ialah "GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK". Satu tema yang cukup besar. Tema ini mencermin hakikat tanggungjawab  yang diamanahkan di atas bahu para guru. Tugas guru bukan sahaja mengajar dan memberi ilmu tertentu tetapi dalam pada masa yang sama guru mestilah mampu memupuk sahsiah yang baik dalam diri anak muridnya.

Saya sangat bersyukur kerana semua guru yang pernah mencurahkan ilmu kepada saya turut mengajar saya tentang nilai-nilai kemanusiaan dan budi pekerti. Saya akui ada ilmu yang terus "lekat" dan ada juga yang "terhakis" sedikit-sedikit. Semua guru yang pernah mengajar saya sememangnya telah melakukan seperti mana yang dinyatakan dalam Tema Hari Guru 2015. Mereka telah berusaha sedaya upaya untuk MEMBINA ILMU dan MENYEMPURNAKAN AKHLAK.

Guru Oh Guru


Kepada semua guru yang pernah meninggalkan jejak dalam kehidupan saya dan kepada semua guru di seluruh Malaysia,  saya perturunkan puisi yang tidak asing di kalangan para guru sebagai penghargaan atas segala jasa para guru.

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa. 

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979 

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2015
Edisi Hari Guru 2015: Mengapa Hari Guru Diisytiharkan Pada 16 Mei? Edisi Hari Guru 2015: Mengapa Hari Guru Diisytiharkan Pada 16 Mei? Reviewed by faizalnizam on May 15, 2015 Rating: 5

1 comment:

  1. selamat hari guru kpd smua guru.. walaupun dah lama lepas

    ReplyDelete

appreciating your feedback and response!

Post Counts

Powered by Blogger.